Saturday, March 21, 2009

Lawatan Ziarah Saudari Farah Suhada bt Abu Bakar

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Pagi khamis itu, Alhamdulillah cuaca cerah seperti merestui niat kami untuk melawat saudari Farah Suhada bt Abu Bakar, pelajar tahun tiga Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam yang menghidapi sakit usus. Rombongan dari UKM diwakili oleh wakil saudari Suriani bt Ding;Naib Presiden III PMUKM, saudara Mahfuzan Gaddafi Mahmud;MPP FPI, wakil dari PMFPI serta sahabat-sahabat saudari Farah Suhada. Seperti yang dirancang, bas UKM membawa kami dari foyer FPI dan terus menyusuri jalan ke Melaka pada pukul 10.50 pagi.

Rombongan kami sampai ke Hospital Melaka pada pukul 12.30 tengahari. Sehari sebelum perjalanan, saya dimaklumkan oleh Unit Kebajikan UKM, bahawa saudari Farah Suhada yang sebelum in berehat di rumah selepas pembedahan telah dimasukkan semula hospital. Saya hanya sempat menziarah saudari Farah Suhada sebentar kerana bilangan pelawat yang ramai. Sempat juga saya menyampaikan salam daripada saudari Suriani Ding yang kini berada di rumah kerana hal-hal keluarga.

Untuk makluman pembaca, saudari Farah Suhada telah melakukan pembedahan tempoh hari kerana masalah usus. Tetapi, beliau telah dimasukkan semula ke Hospital Melaka kerana berlaku jangkitan kuman. Saudari Farah Suhada juga telah berbincang dengan wakil dari Unit Kebajikan,UKM untuk menangguhkan pengajiannya. Kebetulannya pada hari itu, doktor yang merawat beliau telah membenarkan saudari Farah Suhada pulang ke rumah. Kemudian rombongan kami, bertolak pula ke rumah beliau atas jemputan keluarganya yang mengadakan doa selamat pada hari itu. Kira-kira sejam selepas itu, rombongan kami tiba di rumah saudari Farah Suhada yang terletak di Merlimau Melaka. Berpeluang juga saya untuk bertemu dengan keluarga beliau serta mengumpul maklumat peribadi beliau bagi tujuan pengisian borang zakat UKM. Rombongan kami kemudiannya bertolak pulang ke UKM dan tiba pada pukul 6 petang.

Marilah kita sama-sama mendoakan kesihatan seorang lagi sahabat kita yang ditimpa musibah. Saya juga berharap semoga saudari Farah Suhada dapat sembuh sepenuhnya.

Yang benar,
Nurul bt Ahmad
Wakil SUK Suriani Ding

Gambar-gambar semasa di Hospital Melaka dan rumah kediaman saudari Farah Suhada


Renungan :

Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ketika seseorang ditimpa penderitaan (penyakit), maka Allah mengutus dua malaikat kepadanya. Allah berfirman: Dengarkanlah apa kata hamba-Ku ketika diziarahi oleh orang lain. Jika ia mengucapkan Alhamdulillah, maka Allah berfirman kepada dua malaikat, Sampaikanlah kepadanya, jika Aku mematikannya kerana penyakitnya, maka ia pasti masuk syurga, dan jika Aku sembuhkan, maka pasti daging dan darahnya akan Aku ganti dengan yang lebih baik daripada asalnya, serta Aku jadikannya penderitaan (penyakitnya) sebagai penebus dosanya." (Hadis riwayat al-Faqih)

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.