Thursday, March 19, 2009

Lawatan Ziarah Saudari Siti Noraini binti Abidin

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Usai sejam memandu dari Pusanika UKM, Alhamdulillah pada hari Selasa(17 Mac) yang lalu, Naib Presiden III PMUKM Suriani Binti Ding bersama dua setiausaha kerja beliau, telah diizinkan menziarahi saudari Siti Noraini Binti Abidin, mahasiswi Tahun 2 Kursus Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam di wad 6 (Ortopedik) Hospital Kuala Lumpur.

Saudari Siti Noraini yang berasal dari Sik , Kedah telah dimasukkan ke hospital pada 10 Mac 2009 yang lalu, kerana menghidap penyakit ketumbuhan di belakang tulang yang bermula di leher beliau. Ketumbuhan tersebut kini telah merebak ke bahagian paru-paru dan jantung beliau. Menurut pakar yang merawat saudari Siti Noraini, mereka akan melakukan pembedahan merawat ketumbuhan beliau setelah pemeriksaan MRI dilakukan. Bak kata pepatah melayu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Begitulah keadaan kesihatan saudari Siti Noraini yang begitu meruntun hati kami, kerana beliau terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat di bahagian badannya terutamanya pada waktu malam. Walaupun begitu, kami kagum dengan kekuatan semangat saudari Siti Noraini yang masih lagi mampu untuk menguntum senyuman di kala berada dalam ujian yang berat ini..

Pertemuan singkat, di antara saudari Siti Noraini dan saudari Suriani tidak menghalang mereka untuk berkenalan dan berhubungan dengan lebit erat. Saudari Suriani juga, turut menuturkan kata-kata semangat dan doa agar Saudari Siti Noraini beransur pulih dan dapat meneruskan pengajian di UKM. Sempat juga, saudari Suriani menyerahkan sedikit buah tangan dan sumbangan terkumpul daripada mahasiswa UKM sebanyak RM 130 kepada saudari Siti Noraini.
Sehubungan dengan itu, pihak Naib Presiden III mengucapkan jutaan terima kasih kepada insan-insan yang sudi menghulurkan bantuan kewangan kepada saudari Siti Noraini dan marilah kita semua mendoakan agar beliau beransur pulih daripada penyakit yang dihadapinya...
Sekian, terima kasih

Nurul Jannah Binti Abdullah, Setiausaha Kerja kepada Naib Presiden III PMUKM.
Gambar - gambar yang diambil semasa sesi ziarah di HKL..

tinta hati Admin : Bersyukur dikurniakan tubuh badan yang sihat untuk terus menuntut ilmu :)

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.