Sunday, April 05, 2009

RUNGKAILAH KEDUKAAN MU DENGAN BERBUAT BAIK KEPADA ORANG LAIN



Orang yang pertama sekali mendapat faedah daripada sebarang usaha membahagiakan orang lain, adalah orang yang memberikan kebahagiaan itu. Mereka akan menuai hasil segera dari usaha itu.

Hasil itu dapat mereka rasai di dalam diri mereka. Juga di dalam hati sanubari mereka. Mereka akan merasai kelapangan, keluasan, kedamaian dan ketenangan.

Justeru, tatkala kedukaan membelit mu, atau kesakitan menimpa mu, anugerahilah orang lain akan kebaikan. Kurniakanlah mereka kebajikan. Nescaya diri mu akan menemui kelepasan dari duka dan beroleh ketenangan.

Berikanlah pertolongan kepada orang yang berhajat, tolonglah orang yang teraniaya, selamatkanlah orang yang menderitam berilah kepada orang yang kelaparan, ziarahilah orang yang terlantar, bantulah orang yang terdesak, nescaya anda akan mendapati kebahagiaan merimbuni diri anda !

Sesungguhnya perbuatan baik bak pewangi. Ia memberi manfaat kewangian kepada pembawa, penjual dan pembelinya. ‘hasil pulangan’ daripada kebaikan adalah penawar penuh berkat. Penawar itu akan disimpan dalam ‘farmasi’ mereka yang memakmurkan hati mereka dengan kebaikan dan kebajikan.

Sesungguhnya, melemparkan senyuman manis adalah sedekah jariah bagai sabda Nabi s.a.w “Janganlah kiranya kamu memandang remeh setiap perbuatan baik meskipun hanya sekadar bertemu rakanmu dengan wajah manis” (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya wajah masam mencuka ibarat pengisytiharan perang terhadap orang lain, yang tidak diketahui bilakah ia akan meletus melainkan Dia yang maha Esa mengetahui akan segala yang ghaib.

Seteguk air di telapak tangan seorang pelacur kepada seekor anjing yang dahaga, membuahkan hasil “masuk ke dalam syurga” yang luasnya seperti langit dan bumi (Sabda Nabi s.a.w : “tatkala seekor anjing mengelilingi sebuah telaga (kerana sangat dahaga), hampir-hampir dahaganya membunuhnya, salah seorang pelacur Bani Israel terpandangnya. Lantas dia segera menanggalkan kasutnya (untuk mengambil air) lalu memberi anjing itu minum. Maka diampunkan dosanya sebab perbuatannya itu”)(muttafaqun ‘alaih) kerana pemberi pahala Maha Pengampun, sangat menghargai dan begitu indah. Dia sukakan keindahan, Maha Kaya lagi Maha Terpuji.


Duhai insan yang digugat kabus kedukaan, kegelisahan dan kebimbangan, sudilah kiranya bertandang ke “kebun kebajikan”. Sibukkanlah dirimu ke kebun ini dengan berbuat baik, memberi, melayani, menghulur simpati, membantu, berkhidmat… nescaya dirimu akan mendapat kebahagiaan…

“Nilai sebenar bukan pada sedikit atau banyaknya sesuatu pemberian, tapi pada hati yang subur dengan kebaikan dan mekar dengan kebajikan…”

Wallahualam…

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.